Nabi Zakaria, ayahnya Nabi Yahya sedar dan
mengetahui bahawa anggota-anggota keluarganya, saudara-saudaranya,
sepupu-sepupunya dan anak-anak saudaranya adalah orang-orang jahat Bani Israil
yang tidak segan-segan melanggar hukum-hukum agama dan berbuat maksiat,
disebabkan iman dan rasa keagamaan mereka belum meresap betul didalam hati
mereka, sehingga dengan mudah mereka tergoda dan terjerumus ke dalam lembah
kemungkaran dan kemaksiatan. Ia khuatir bila ajalnya tiba dan meninggalkan
mereka tanpa seorang waris yang dapat melanjutkan pimpinannya atas kaumnya,
bahawa mereka akan makin rusak dan makin berani melakukan kejahatan dan
kemaksiatan bahkan ada kemungkinan mereka mengadakan perubahan-perubahan di
dalam kitab suci Taurat dan menyalah-gunakan hukum-hukum agama.
Kekhuatiran itu selalu mengganggu fikiran Zakaria disamping rasa sedih hatinya
bahawa ia sejak kahwin hingga mencapai usia sembilan puluh tahun, Tuhan belum
mengurniakannya dengan seorang anak yang ia idam-idamkan untuk menjadi
penggantinya memimpin dan mengimami Bani Isra'il. Ia agak terhibur dari rasa
sedih dan kekhuatirannya semasa ia bertugas memelihara dan mengawasi Maryam
yang dapat dianggap sebagai anak kandungnya sendiri. Akan tetapi rasa sedihnya
dan keinginanya yang kuat untuk memperolhi keturunan tergugah kembali ketika ia
menyaksikan mukjizat hidangan makanan dimihrabnya Maryam. Ia berfikir didalam
hatinya bahawa tiada sesuatu yang mustahil di dalam kekuasaan Allah. Allah yang
telah memberi rezeki kepada Maryam dalam keadaan seorang diri tidak berdaya dan
berusaha, Dia pula berkuasa memberinya keturunan bila Dia kehendaki walaupun
usianya sudah lanjut dan rambutnya sudah penuh uban.
Pada suatu malam yang sudah larut duduklah Zakaria di mihramnya menghiningkan
cipta memusatkan fikiran kepada kebesaran Allah seraya bermunajat dan berdoa
dengan khusyuk dan keyakinan yang bulat. Dengan suara yang lemah lembut
berucaplah ia dalam doanya: "Ya Tuhanku berikanlah aku seorang putera yang
akan mewarisiku dan mewarisi sebahagian dari keluarga Ya'qub, yang akan
meneruskan pimpinan dan tuntunanku kepada Bani Isra'il. Aku khuatir bahawa
sepeninggalanku nanti anggota-anggota keluargaku akan rusak kembali aqidah dan
imannya bila aku tinggalkan mati tanpa seorang pemimpin yang akan menggantikan
aku. Ya Tuhanku, tulangku telah menjadi lemah dan kepalaku telah dipenuhi uban
sedang isteriku adalah seorang perempuan yang mandul namun kekuasaan-Mu adalah
diatas segala kekuasaan dan aku tidak jemu-jemunya berdoa kepadamu memohon
rahmat-Mu mengurniai kau seorang putera yang soleh yang engkau redhai."
Allah berfirman memperkenankan permohonan Zakaria: "Hai Zakaria Kami memberi
khabar gembira kepadamu, kamu akan memperoleh seorang putera bernama Yahya yang
soleh yang membenarkan kitab-kitab Allah menjadi pemimpin yang diikuti bertahan
diri dari hawa nafsu dan godaan syaitan serta akan menjadi seorang nabi."
Berkata Zakaria: "Ya Tuhanku bagaimana aku akan memperolehi anak sedangkan
isteri adalah seorang perempuan yang mandul dan aku sendiri sudah lanjut
usianya."
Allah menjawab dengan firman-Nya: "Demikian itu adalah suatu hal yang
mudah bagi-Ku. Tidakkah aku telah ciptakan engkau padahal engkau di waktu itu
belum ada sama sekali?"
Berkata Zakaria: "Ya Tuhanku, berilah aku akan suatu tanda bahawa isteri
aku telah mengandung." Allah berfirman: "Tandanya bagimu bahawa
engkau tidak dapat berkata-kata dengan manusia selama tiga hari berturut-turut
kecuali dengan isyarat. Dan sebutlah nama-Ku sebanyak-banyaknya serta
bertasbihlah diwaktu petang dan pagi hari."
Nabi Yahya bin Zakaria a.s. tidak banyak dikisahkan oleh Al-Quran kecuali
bahawa ia diberi ilmu dan hikmah selagi ia masih kanak-kanak dan bahawa ia
seorang putera yang berbakti kepada kedua ora ng tuanya dan bukanlah orang yang
sombong durhaka. Ia terkenal cerdik pandai, berfikiran tajam sejak ia berusia
muda, sangat tekun beribadah yang dilakukan siang dan malam sehingga berpengaruh
kepada kesihatan badannya dan menjadikannya kurus kering, wajahnya pucat dan
matanya cekung.
Ia dikenal oleh kaumnya sebagai orang alim menguasai soal-soal keagamaan, hafal
kitab Taurat, sehingga ia menjadi tempat bertanya tentang hukum-hukum agama. Ia
memiliki keberanian dalam mengambil sesuatu keputusan, tidak takut dicerca
orang dan tidak pula menghiraukan ancaman pihak penguasa dalam usahanya
menegakkan kebenaran dan melawan kebathilan.
Ia selalu menganjurkan orang-orang yang telah berdosa agar bertaubat dari
dosanya. Dan sebagai tanda taubatnya mereka dipermandikan { dibaptiskan } di
sungai Jordan, kebiasaan mana hingga kini berlaku di kalangan orang-orang
Kristian dan kerana Nabi Yahya adalah orang pertama yang mengadakan upacara
itu, maka ia dijuluki "Yahya Pembaptis".
Dikisahkan bahawa Hirodus Penguasa Palestin pada waktu itu mencintai anak
saudaranya sendiri bernama Hirodia, seorang gadis yang cantik, ayu, bertubuh
lampai dan ramping dan berhasrat ingin mengahwininya. Sang gadis berserta
ibunya dan seluruh anggota keluarga menyentujui rencan perkahwinan itu, namun
Nabi Yahya menentangnya dan mengeluarkan fakwa bahawa perkahwinan itu tidak
boleh dilaksanakan kerana bertentangan dengan syariat Musa yang mengharamkan
seorang mengahwini anak saudaranya sendiri.
Berita rencana perkahwinan Hirodus dan Hirodia serta fatwa Nabi Yahya yang
melarangnya tersiar di seluruh pelosok kota dan menjadi pembicaraan orang di
segala tempat di mana orang berkumpul. Herodia si gadis cantik calon isteri itu
merasa sedih bercampur marah terhadap Nabi Yahya yang telah mengeluarkan fatwa
mengharamkan perkahwinannya dengan bapa saudaranya sendiri, fatwa mana telah
membawa reaksi dan pendapat dikalangan masyarakat yang luas. Ia khuatir bahawa
bapa saudaranya Herodus calon suami dapat terpengaruh oleh fatwa Nabi Yahya itu
dan terpaksa membatalkan perkahwinan yang sudah dinanti-nanti dan
diidam-idamkan, bahkan bahkan sudah menyiapkan segala sesuatu berupa pakaian
mahupun peralatan yang perlu untuk pesta perkahwinan yang telah disepakati itu.
Menghadapi fatwa Nabi Yahya dan reaksi masyarakat itu, Herodia tidak tinggal
diam. Ia berusaha dengan bersenjatakan kecantikkan dan parasnya yang ayu itu
mempengaruhi bapa saudaranya calon suaminya agar rencana perkahwinan dilaksanakan
menurut rencana. Dengan merias diri dan berpakaian yang merangsang, ia pergi
mengunjungi bapa saudaranya Herodus yang sedang dilanda mabuk asmara. Bertanya
Herodus kepada anak saudaranya calon isterinya yang nampak lebih cantik
daripada biasa : "Hai manisku, apakah yang dapat aku berbuat untukmu.
Katakanlah aku akan patuhi segala permintaanmu, kedatanganmu kemari pada saat
ini tentu didorong oleh sesuatu hajat yang mendesak yang ingin engkau sampaikan
kepadaku. Sampaikanlah kepadaku tanpa ragu-ragu, hai sayangku, aku sedia
melayani segala keperluan dan keinginanmu."
Herodia menjawab: "Bila Tuan Raja berkenan, maka aku hanya mempunyai satu
permintaan yang mendorongku datang mengunjungi Tuanku pada saat ini.
Permintaanku yang tunggal itu ialah kepala Yahya bin Zakaria orang yang telah
mengacau rencana kita dan mencemarkan nama baik Tuan Raja dan namaku sekeluarga
di segala tempat dan penjuru. Supaya dia dipenggal kepalanya. Alangkah puasnya
hatiku dan besarnya terima kasihku, bila Tuanku berkenan meluluskan
permintaanku ini".
Herodus yang sudah tergila-gila dan tertawan hatinya oleh kecantikan dan
keelokan Herodia tidak berkulik menghadapi permintaan calon isterinya itu dan
tidak dapat berbuat selain tunduk kepada kehendaknya dengan mengabaikan suara
hati nuraninya dan panggilan akal sihatnya. Demikianlah maka tiada berapa lama
dibawalah kepala Yahya bin Zakaria berlumuran darah dan diletakkannya di depan
kesayangannya Herodia yang tersenyum tanda gembira dan puas hati bahawa
hasratnya membalas dendam terhadap Yahya telah terpenuhi dan rintangan utama
yang akan menghalangi rencana perkahwinannta telah tersingkirkan, walaupun
perbuatannya itu menurunkan laknat Tuhan atas dirinya, diri rajanya dan Bani
Isra'il seluruhnya.
Cerita tentang Zakaria dan Yahya terurai di atas dikisahkan oleh Al-Quran,
surah Maryam ayat 2 sehingga ayat 15, surah Ali Imran ayat 38 senhingga ayat 41
dan surah Al-Anbiya' ayat 89 sehingga ayat 90.
Tidak ada komentar:
Posting Komentar